Saturday, 6 December 2014

ISTIADAT PERTABALAN SULTAN PERAK KE-35 AKAN DILANGSUNGKAN MEI 2015

Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak
Istiadat pertabalan Sultan Perak ke – 35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, akan dilangsungkan pada hari Rabu, 6 Mei 2015.

Setiausaha Dewan Negara, Datuk Ayop Hashim berkata, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menetapkan tarikh itu dengan nasihat Dewan Negara Perak yang bersidang kali ke-162 pada 22 November lalu.
Menurut beliau, lstiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah Kuala Kangsar pada pagi 6 Mei 2015, diikuti dengan lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal yang akan berlangsung pada malam 7 Mei 2015.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri selanjutnya akan berangkat menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu, kemudiannya menghilir Sungai Perak dari Pasir Salak sehingga ke Teluk lntan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau berkata, lstiadat pertabalan akan berakhir dengan keberangkatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mencecahkan kaki baginda di Beting Beras Basah, tempat pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.
Beliau memberitahu, pelbagai acara sedang dirancang yang turut melibatkan keberangkatan Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota serta kehadiran Yang Dipertua - Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri dan jemaah menteri serta para perwakilan asing, juga tetamu dari dalam dan luar negara.
Menurut Ayop, acara-acara berbentuk keagamaan dan yang memberi peluang baginda mendampingi rakyat seperti acara yang melibatkan penyertaan rakyat jelata, warga emas, golongan remaja dan pelajar akan dilaksanakan dalam tempoh masa sambutan istiadat pertabalan.

No comments:

Post a Comment