Saturday, 5 March 2016

TEBING SEPANJANG SUNGAI PERAK BERISIKO TINGGI ALAMI HAKISAN SERING DIPANTAU


IPOH – Masalah hakisan di tebing Sungai Perak, Teluk Intan, kira-kira 100 kilometer dari sini berada dalam keadaan terkawal, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Datuk Abdul Razak Dahlan.


Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan tebing di sepanjang Sungai Perak terutama yang berisiko tinggi mengalami hakisan bagi memastikan langkah pencegahan dapat diambil.
“Oleh itu, penduduk sekitar tidak perlu khuatir kerana pihak kami sedang melakukan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah ini.
Selain itu, kita turut menaik taraf sistem saliran di seluruh Teluk Intan pembinaan sistem saliran baharu serta pintu-pintu air yang baharu bagi mengurangkan impak hakisan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong pada Khamis yang mengatakan sebahagian bandar Teluk Intan akan tenggelam seterusnya menjadi pulau dalam tempoh 50 tahun lagi jika hakisan tebing di sekitar Sungai Perak tidak diatasi.
Menjelas lanjut Abdul Razak berkata usaha mengurangkan masalah hakisan dengan membina tambak batu di sepanjang Sungai Perak telah dimulakan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan.
“Kita mula membaik pulih dari tahun 1997 hingga ke hari ini dan lebih kurang RM50 juta telah dibelanjakan.
Kita memang memerlukan peruntukan yang agak banyak tetapi sekarang kita merancang dan buat secara berfasa mengikut keutamaan dan kemampuan,” katanya.
Mengenai pembinaan fasa kedua tambak batu yang bernilai RM51 juta, Abdul Razak berkata ia telah dimulakan akhir tahun lalu dan dijangka siap penghujung 2017.
Tambak batu sepanjang dua kilometer itu melibatkan tebing di Jalan Woo Saik Hong hingga ke Jeti Kampung Terengganu di Pasir Berdamar dekat sini. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment