
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, menjelang sambutan Hari UMNO ke-69, 11 Mei ini, semua ahli UMNO perlu terus kekal bersatu supaya parti keramat ini kekal sebagai pertubuhan politik yang mantap dalam membela nasib Melayu dan Bumiputera.
Jelasnya, UMNO harus dilihat sebagai sebuah parti masa hadapan dengan dasar-dasar parti yang relevan agar anak muda pelapis bangsa tertarik dengan perjuangan UMNO.
“Walau apa pun yang terjadi, kita sebagai ahli UMNO perlu terus bersatu dan memberi kepercayaan kepada presiden parti di dalam mengharungi cabaran mendatang. Ini akan memberikan gambaran yang baik kepada golongan muda bahawa UMNO memang sebuah parti masa hadapan.
“Setiap ahli UMNO juga harus sedar bahawa musuh parti dan musuh bangsa Melayu semakin agresif berusaha memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian di dalam parti UMNO.
“Ini kerana, perpecahan orang Melayu memudahkan mereka untuk menjatuhkan UMNO. Sekiranya UMNO jatuh maka bangsa Melayu akan lemah seterusnya sudah pasti pucuk pimpinan Negara yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan kecundang.
“UMNO adalah tulang belakang kerajaan. Sekiranya kekuatan ini runtuh, jika orang Melayu bercakaran sesama sendiri dan lebih bimbang anak-anak muda menjauhkan diri dari UMNO yang sepatutnya meneruskan kesinambungan parti membela bangsa, maka selepas pilihan raya umum ke 14, kita tidak lagi menjadi tonggak utama Negara,” katanya kepada UMNO-Online.
Tambahnya, UMNO adalah sebuah parti yang bertanggungjawab memastikan semua bangsa dan kaum hidup aman serta menikmati kemakmuran, dan kemajuan di negara ini.
Oleh itu jelasnya, ambillah kesempatan hari UMNO ini untuk terus membina semangat baru dan di dalam memperjuangkan parti menjelang PRU-14.
“Jangan nanti bila sudah terantuk baru hendak tengadah. Kita harus terus berusaha keras meraih kepercayaan rakyat kepada parti,” jelasnya lagi. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment