MINAT dalam bidang pertanian mendorong bekas tentera laut di Kampung Tersusun Lorong Haji Hamzah, Batu 10, Lekir bercucuk tanam di sekeliling rumahnya.
Hamdan Ahmad Sapli, 47, berkata, selepas berpencen pada Ogos 2011, dia mula bercucuk tanam sebagai hobi bagi mengisi masa lapang.
Menurutnya, konsep 'kitchen garden' melibatkan pelbagai tanaman termasuk sayur-sayuran dan herba diambil bagi mengembalikan nostalgia kampung.
"Saya ini anak kampung berasal dai Kampung Lengkuas, Parit dan sudah biasa dengan kerja-kerja bercucuk tanam.
“Memang saya berniat jika pencen nanti saya akan terlibat dalam bidang pertanian memandangkan ia juga adalah hobi yang telah lama diidamkan,” katanya.
Luang lebih banyak masa bersama anak-anak
Bercerita lanjut, Hamdan menjelaskan, situasi anak-anak yang agak terabai dan tidak rapat dengannya disebabkan kekangan kerja sebagai anggota tentera mendorongnya meluangkan lebih masa buat anak-anak.
“Ada satu ketika anak-anak saya tidak mahu dengan saya kerana terlalu jarang berjumpa. Perkara itu membuatkan saya terfikir melakukan aktiviti sampingan di rumah selain memelihara mereka,” katanya.
Kini semua itu dapat ditangani malah kebun mini yang ada di sekeliling rumah kini menjadi terapi buatnya sekeluarga.
"Melihatkan tumbuhan hijau yang subur, hati kami tenang dan kawasan ini turut dijadikan tempat beriadah buat kami sekeluarga," katanya.
![]() |
Pokok anggur pun ada |
Mahu beri contoh kepada orang ramai
Bukan sahaja itu niatnya, dia juga mahu memberikan contoh kepada masyarakat bahawa lebih banyak manfaat diperoleh melalui aktiviti pertanian.
"Bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan malah, boleh menambah pendapatan sampingan.
“Jika tidak ada ruang besar sekalipun mereka boleh menggunakan pelbagai alternatif termasuk menanam di dalam bekas-bekas tertentu.
“Agak menyedihkan jika kita tinggal di kampung tetapi masih juga membeli barangan seumpama itu, ia merugikan kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, penanaman yang diusahakan bukan bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya minat mendalam mendorongnya membina kebun mini.
"Saya hanya menjual ulam-ulaman sahaja kepada restoran berhampiran dan selebihnya saya sedekah kepada jiran-jiran serta rakan-rakan.
“Memang niat saya bukan untuk berjual-beli tetapi jika ada yang ingin membeli saya tetap menjualnya. Sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk membeli baja dan benih tanaman baharu," katanya.
28 jenis tumbuhan ditanam
Ditanya mengenai jenis tanaman yang ada di rumahnya, dia berkata, sehingga kini kira-kira 28 jenis sayuran dan herba sudah memenuhi laman serta sekeliling rumah.
"Ia termasuklah kesom, serai, pokok sireh, pokok kelapa, limau purut, limau kasturi, pokok kari, daun pandan, kunyit, selom, sawi, kangkung, cili padi dan pelbagai jenis sayuran lain," katanya.
Lebih menarik, Hamdan turut menanam pokok anggur sebagai salah satu landskap di rumahnya dan pokok berkenaan sering berbuah sejak tahun 2012 yang lalu.
Hamdan berkata, kebanyakan benih dibelinya, ada juga diperoleh dari rakan-rakan dan Jabatan Pertanian.
"Pihak Jabatan Pertanian pernah memasukkan saya ke dalam satu pertandingan bumi hijau.
"Tidak sangka tanaman ini turut menarik perhatian ramai orang dan hasrat saya untuk memberi contoh kepada orang lain boleh dikatakan tercapai,” katanya.
Sedia kongsi ilmu
Sementara itu, Hamdan turut mengalu-alukan mereka yang berminat mendapatkan benih-benih sayuran dan pokok herba untuk datang ke kebun
mininya itu.
"Saya juga sedia beri tunjuk ajar kepada mana-mana individu yang mempunyai minat yang sama," katanya.
Katanya, bagi mengembangkan lagi ilmu dalam bidang pertanian dia turut menjadi ahli beberapa kelab melibatkan pertanian.
“Pada zaman serba canggih ini kita dapat menyertai pelbagai kelab hanya melalui laman sosial dan dapat berkongsi maklumat dari pelbagai individu seluruh negara.
“Walaupun sekadar hobi namun saya merasakan kita juga harus mempunyai ilmu dalam bidang tertentu untuk memberi manfaat kepada diri kita," katanya. - Sinar
No comments:
Post a Comment