Sunday, 1 March 2015

PENCURI AIR DI PANTAI REMIS DIKENAL PASTI

LUMUT: Kerajaaan negeri sudah mengenalpasti pihak yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian air di Kampung Bagan Panchor, dekat Pantai Remis.



Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tegas akan diambil bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Justeru, penguatkuasaan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang mengambil kesempatan dalam isu tersebut, katanya lagi.

“Kita telah mendapat bukti berkaitan isu kecurian air di Empangan Panchor dan dalangnya sudah dikenalpasti tetapi tidak perlu saya sebutkan siapa orangnya.

“Kita telah mengarahkan pihak yang berwajib untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Ini termasuklah menyediakan kertas pendakwaan untuk membawa mereka ke mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga berharap agar tiada mana-mana pihak mempertahankan individu yang mencetuskan masalah itu.

Jelasnya, kecurian air di kawasan itu menimbulkan kesusahan kepada penduduk setempat.

“Ia bukan sahaja menyebabkan Kerajaan Negeri mengalami kerugian daripada segi sumber tetapi juga mendatangkan kesusahan kepada rakyat yang sepatutnya mendapat bekalan air.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah memberi gambaran mengenai kelemahan di pihak kerajaan dalam menyalurkan bekalan air kepada rakyat.

“Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku adalah ia disebabkan oleh pihak berkenaan,” tambahnya.

Ujarnya, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak Lembaga Air Perak (LAP) melihat semula saiz paip utama yang digunakan untuk menyalurkan air ke kawasan tersebut.

“Saiz paip yang digunakan berkemungkinan akan dipengaruhi oleh faktor pembangunan iaitu bukan hanya kawasan tersebut tetapi juga turut melibatkan kawasan lain,” tambahnya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan masalah penduduk Kampung Bagan Panchor di Pantai Remis yang mengalami masalah bekalan air.

Rekod LAP juga mencatatkan penggunaan air kawasan berkenaan adalah yang tertinggi berbanding kawasan lain.

No comments:

Post a Comment