
SERI MANJUNG - Khuatir ditangkap anggota Jabatan Imigresen Lumut dalam Ops Selera malam kelmarin, seorang wanita warga Thailand tidak menghiraukan bahaya dan sanggup menyorok dalam semak.
Bagaimanapun usaha wanita berusia 20-an itu tidak berhasil apabila dia berjaya dicekup anggota Imigresen.
Ketua Imigresen Lumut, Nor Azman Ibrahim berkata, wanita berkenaan antara tujuh warga asing yang ditahan di dua lokasi berbeza dalam Ops Selera bermula jam 9 malam itu.
Menurutnya, tujuh individu ditahan itu terdiri daripada warga Thailand berusia dalam lingkungan 20-an yang bekerja di restoran dan kedai makan.
“Kita berjaya menahan tiga wanita dan empat lelaki warga Thailand dalam serbuan berkenaan.
“Kesemua mereka didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang masak dan pembantu kedai makan serta sudah hampir dua tahun menetap di negara ini,” katanya.
Nor Azman berkata, kesemua warga asing berkenaan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap untuk siasatan lanjut.
Katanya, usaha mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) akan terus dipergiatkan di kawasan itu.
“Ini termasuklah di pusat hiburan memandangkan kebanjiran warga asing ini boleh mendatangkan pelbagai masalah sosial,” katanya.
Operasi berkenaan disertai 15 anggota dan pegawai Imigresen Lumut.
Sumber : SinarHarian
No comments:
Post a Comment