
Sekumpulan pelajar sebuah kolej di Medan Kidd hari ini membuat laporan polis berhubung penipuan yang dilakukan pihak pengurusan hingga mengakibatkan pengajian mereka tertangguh dan gagal memperolehi diploma seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Menurut salah seorang pelajar berkenaan, S Dirairaj yang mengambil jurusan Jurutera Automasi (Meratronik), beliau menyedari dirinya telah ditipu sejak 2010 lagi oleh selepas pulang daripada menjalani latihan industri.
“Saya sudah mendapat sijil kemahiran tahap satu dan dua untuk menyambung tahap empat iaitu peringkat diploma kemahiran Malaysia tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana kolej itu telah ditutup,” katanya.
Dirairaj telah memohon pinjaman sebanyak RM32,000 daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran ( PTPK ) dan kini terpaksa menjelaskan hutang tersebut tanpa memperolehi diploma seperti yang dijanjikan oleh pihak kolej.
“Saya harap pihak pengurusan akan memaklumkan sama ada jika kolej ini muflis atau sebaliknya kerana kami boleh menuntut insurans daripada pinjaman berkenaan,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan kolej yang terdahulu tidak memberitahu sebarang maklumat penutupan operasi.
“Mereka tidak memaklumkan kepada pihak pelajar dan tenaga pengajar sebaliknya bertindak melarikan diri begitu sahaja.
Sementara itu, menurut Rozana Sabar pula, pengajiannya yang sepatutnya telah tamat Oktober lepas tertangguh begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan yang sewajarnya daripada pihak pengurusan.
“Pengurusan tidak tahu kemana menghilang dan saya sedar mereka sudah tiada apabila datang ke kolej pada September 2014 untuk menghantar kertas kerja tahun akhir saya,” katanya.
Tambahnya lagi, sehingga hari ini, diploma yang dijanjikan masih tidak diperolehi dan beliau terpaksa menanggung hutang PTPK sebanyak RM24,000.
“Ibu bapa sudah mulai risau dan sukar untuk saya mencari pekerjaan kerana tidak memiliki diploma berkenaan,” katanya.
Bagi Anissah Afifah Rajudin pula, insiden itu memberi tamparan hebat dan cukup mengecewakan dirinya.
“Saya rasa tertipu dan kini saya perlu membayar pinjaman sebanyak RM24,000,” katanya.
Beliau yang sepatutnya habis belajar pada Ogos lalu berkata, perkara itu cukup membimbangkan dirinya kerana gagal menyambung pelajaran di tahap empat iaitu peringkat diploma.
“Apabila saya datang ke kolej, hanya beberapa pensyarah yang ada namun pihak pengurusan kolej telah tiada,” katanya dengan nada hampa.
No comments:
Post a Comment